Category Archives: Writings

BANYAK KAUM NABI-NABI YANG DIBINASAKAN, BUKAN KAUM NABI LUT SAJA

Dalam al-Qur’an tu, bukan kaum Nabi Lut saja yang dibinasakan. Ada banyak lagi kaum-kaum di zaman Nabi-Nabi yang telah pun dibinasakan – yang tak ada kena mengena dengan LGBT pun.

Antaranya ialah kaum Nabi Nuh yang kena banjir besar2an tu, dan satu lagi contoh kaum yang dibinasakan ialah kaum di zaman Nabi Syuaib – iaitu kaum Madyan.

Kaum Madyan tu dibinasakan sebab mereka sering menipu dan tak jujur semasa berniaga dengan kurangkan timbangan dsb.

Jadi kalau peniaga2, org2 business, para kapitalis atau para pemimpin / ahli politik di sesuatu negara tu banyaknya cuma nak kaut keuntungan dan tak peduli tentang kepentingan para konsumer dan rakyat yang menggunakan produk dan servis yang diberikan – maka binasalah juga, kan…

Dalam al-Qur’an juga sebut ada banyak kaum yang dibinasakan juga adalah yang banyak berbuat zalim dan buat kerosakan di mukabumi.

Kerosakan di muka bumi tu pun termasuklah yang tamak haloba gondolkan hutan dan punahkan alam sekitar lah juga rasanya.

Dan zalim tu termasuklah kalau banyak orang-orang besarnya atau yang powerful menindas orang-orang yang miskin, lemah dan terpinggir atau marginalised.

Jadi kalau ada bencana, janganlah asyik nak salahkan LGBT . Banyak ‘bencana alam’ adalah akibat dari kerakusan dan kezaliman manusia yang di matanya hanya gilakan duit juta-juta dan bilion-bilion – tanpa pedulikan akibatnya pada kemanusiaan.

Pada yang sibuk le setiap kali nak salahkan LGBT sebagai punca atau sebab, padahal seringkali juga bencana itu hanyalah kerana faktor lumrah alam semata-mata seperti tsunami dsb – pada mereka ini, mereka harus tanya pada diri sendiri – mereka sendiri kurang iman dan tak percaya pada takdir dan suratan Tuhan kah?

Kalau dah tak menolong bila orang kena bencana, tak payah lah nak bazir air liur sembang kencang cari salah orang. Pegi lah bantu. Kalau tak dapat bantu, doakan lah semoga orang-orang yang ditimpa bencana itu diselamatkan dan diberi perlindungan oleh Allah swt .

Itu barulah seorang Islam yang baik dan beriman namanya…..

SUNNAH NABI : MONOGAMI 28 TAHUN DENGAN ISTERI PERTAMA DAN PERNAH LARANG POLIGAMI

SUNNAH NABI : RASULULLAH S.A.W TELAH MONOGAMI SELAMA 28 TAHUN DAN JUGA PERNAH LARANG POLIGAMI

Orang-orang agama selalu menyeru ikut sunnah Nabi.  Terutama dalam bab poligami, agamawan yang suka galakkan poligami dan para lelaki yang nak berpoligami , akan asyiklah menyebut tentang sunnah Nabi.

Namun, SUNNAH NABI BUKANLAH POLIGAMI  saja.

–   Sunnah Nabi juga adalah  : RASULULLAH S.A.W amalkan MONOGAMI atau hanya BERISTERI SATU SELAMA 28 TAHUN, iaitu SELAMA ISTERI PERTAMA baginda, yakni Siti Khadijah r.a. MASIH HIDUP.

–    Sunnah Nabi ialah baginda tidak menceraikan isteri pertama dan tidak pernah menyakiti hati atau menganiaya isteri pertama.  Malahan Rasulullah s.a.w begitu mencintai isteri pertama baginda dengan sepenuh jiwa raga baginda, dengan sentiasa mengingati dan memuji-muji isteri pertamanya hingga ke akhir hayat baginda.

–  Sunnah Nabi menunjukkan baginda menduda atau tidak terus tergesa-gesa kahwin lagi, selama lebihkurang 2 tahun selepas isteri pertama baginda, yakni Sayiditina Khadijah r.a. wafat.

– Sunnah Nabi : Hidup berMONOGAMI selama 28 TAHUN, manakala hidup berPOLIGAMI CUMA 8 TAHUN.

–   Sunnah Nabi : Kesemua isteri-isteri baginda adalah janda termasuk yang ramai anak atau yang sudah tua, kecuali Sayiditina Aisyah r.a.

 

DAN

antara Sunnah Nabi s.a.w juga adalah :

Rasulullah s.a.w PERNAH MELARANG POLIGAMI .

Nabi s.a.w MELARANG Sayidina Ali dari berkahwin lagi atau dari menduakan puteri baginda, Fatimah r.a.

Larangan baginda itu malah dinyatakan dengan serius DARI ATAS MIMBAR, bukan sekadar cakap sambil lewa.

“Dari Miswar bin Makhramah, bahwa Nabi Shallallahu’alaihi Wasallam berkhutbah di atas mimbar:

إن بني هشام بن المغيرة استأذنوني أن ينكحوا ابنتهم علي بن أبي طالب فلا آذن لهم، ثم لا آذن لهم ثم لا آذن لهم، إلا أن يحب ابن أبي طالب أن يطلق ابنتي وينكح ابنتهم. فإنما ابنتي بضعة مني، يريبني ما أرابها، ويؤذيني ما آذاها

“Sesungguhnya Hisyam bin Al Mughirah meminta izin kepadaku untuk menikahkan anak perempuan mereka dengan Ali bin Abi Thalib. Namun aku tidak mengizinkannya, aku tidak mengizinkannya, aku tidak mengizinkannya. Kecuali jika ia menginginkan Ali bin Abi Thalib menceraikan putriku baru menikahi putri mereka. Karena Fatimah adalah bahagian dariku. Apa-apa yang yang menyinggung perasaan Fatimah, menyinggung hati ku dan apa-apa yang menyakiti Fatimah, menyakitiberku jua.”

Ada yang beri alasan Nabi tak beri Sayidina Ali berpoligami sebab Ali nak kahwin dengan anak Abu Jahal.

Namun, bukankan Rasululullah s.a.w sendiri pernah berkahwin dengan anak Abu Sufyan sewaktu Abu Sufyan masih memusuhi Islam lagi?

Lagi pun sekiranya puteri Abu Jahal masuk Islam bila berkahwin dengan Ali, pastilah Nabi tidak akan mendiskriminasi puteri Abu Jahal itu.   Ia kerana puteri Abu Jahal itu suci bersih setelah masuk Islam dan juga suci besih dari menanggung dosa ayahnya.

Prinsip ‘seseorang tidak menanggung dosa orang lain’ itu adalah antara prinsip basic dalam Islam.

Ramai saja musuh Islam yang anak-anak atau ahli keluarganya masuk Islam, dan kalau dah masuk Islam, mereka tidak dipertanggungjawabkan tentang tindakan bapa atau saudara mereka yang masih memusuhi Islam itu.

Malahan, kalau ikut cara atau tradisi Arab, perkahwinan itu malah menjadi suatu cara untuk merapatkan hubungan antara suku.

Jadi, kalau ikutkan cara Arab, baguslah kalau Ali kawin dengan anak musuh Islam sebab Al-Qu’an menyebut dalam surah Al-Mumtahanah (60:7) :

”Mudah-mudahan Allah menimbulkan kasih sayang antaramu dengan orang-orang yang kamu musuhi di antara mereka. Dan Allah adalah Maha Kuasa. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.’

Maka, kalau ikut sunnah Nabi, Nabi MELARANG POLIGAMI dengan alasan BAHAWA PERKAHWINAN POLIGAMI ITU BOLEH MELUKAKAN HATI ISTERI (dalam hal ini, hati Fatimah r.a.)

Islam bukanlah agama yang sadis atau agama yang kiasu, yang tidak peduli langsung tentang perasaan manusia. Bila sebut perasaan, pihak berkuasa janganlah pulak yang jadi kiasu dengan sibuk nak dengar atau jaga perasaan orang yang ‘kuat’ atau yang punya kuasa dan kedudukan saja.  Pihak berkuasa malah sepatutnya lebih mementingkan untuk  mengambil kira perasaan orang yang di pihak yang lemah , samada dari segi kedudukan, kewangan ataupun kuasa. Dalam hal poligami ini – pastilah perasaan atau KENYATAAN DAN PENDIRIAN ISTERI kerana isteri dalam kedudukan yang lemah apabila suaminya mahu berpoligami.

Maka, adalah tanggungjawab pihak berkuasa untuk memperkasakan oran-orang yang lemah, dengan memastikan HAK-HAK orang-orang yang LEMAH dan TERPINGGIR itu terjaga dan TERJAMIN, untuk pastikan SUARA MEREKA DIDENGAR DAN DIAMBILKIRA dalam sebarang pembuatan keputusan.

Mana-mana pihak berkuasa yang gagal berbuat demikian adalah pihak berkuasa yang tidak bertanggungjawab yang hanya jadi penindas rakyat yang lemah.

Allah swt sendiri  pun memberi peringatan pada para suami yang ada hati nak kahwin lagi bahawa ‘…jika kamu bimbang tidak akan dapat berbuat adil, maka satu saja….’ (Surah An-Nisa’ 4:3)

 

 

 

 

Mengahwini dan mempoligamikan kanak-kanak – Malaysia boleh terima?

Published: Jun 10, 2013
Portal: The Nut Graph
Link: Click Here

Mengahwini dan mempoligamikan kanak-kanak – Malaysia boleh terima?

(Wiki commons)

BEBERAPA tahun dulu, saya menonton filem Osama tentang seorang kanak-kanak perempuan miskin di Afghanistan yang terpaksa menyamar sebagai seorang lelaki supaya boleh bekerja untuk menyara keluarganya. Cerita diakhiri dengan identiti budak kecil itu diketahui lalu dipaksa kahwin dengan lelaki tua beristeri tiga.

Para penonton, termasuk saya, merasa terobek-robek jiwa. Kalau boleh hendak minta penulis dan pengarah filem agar tukar skrip dan mengakhirinya dengan happy ending. Tapi, di situlah kekuatan filem itu. Ia menggugah kita bahawa realiti kehidupan tidaklah semudah dan seindah seperti yang kita mahu.

Yang sedihnya, kisah kahwin bawah umur seperti ini tidak lagi hanya berlaku di Afghanistan, Saudi Arabia, Pakistan dan Bangladesh. Sekarang, sudah semakin kedengaran ianya berlaku di negara kita, Malaysia sendiri.

Saya telah menulis tentang isu kahwin bawah umur Oktober tahun lepas, tapi saya tulis juga lagi kerana ia masih berlaku. Sekarang terdapat satu lagi kes di Sabah. Riduan Masmud, 40 tahun, yang didakwa merogol seorang budak berumur 12 tahun, rupa-rupanya telah mengahwini mangsanya sebagai isteri kedua dengan keizinan Mahkamah Syariah.

Bukankah tiba masa untuk Malaysia tidak lagi terima kes-kes seperti ini dan pelaku salah dijatuhkan hukuman di bawah undang-undang dan bukannya dibenarkan mengahwini mangsanya yang masih lagi kanak-kanak?

Bukan faktor agama

Masih ramai yang berpegang pada “Islam membolehkan kahwin bawah umur, Aisyah pun kahwin dengan Nabi s.a.w semasa beliau berusia 9 tahun”.  Apa benar begitu? Dalam artikelnya di The Star, Dr Wan Azhar Wan Ahmad, fellow kanan dan pengarah Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Sains Politik di Ikim, telah menolak keras tanggapan bahawa perkahwinan bawah umur adalah anjuran atau amalan Islam. Menurut beliau, tidak ada nas atau dalil yang menyokongnya.

Dr Wan Azhar menyokong pandangan sesetengah ulama yang berpendapat Aisyah berusia sekitar 17 tahun sewaktu berkahwin. Beliau juga merujuk pada surah An-Nisa 4:21, yang mana Allah mengingatkan bahawa isteri berpegang kuat kepada perjanjian ataupun kontrak perkahwinan yang dibuat bersama suaminya. Beliau berhujah bahawa pastilah hanya wanita dewasa dan tidak mungkin kanak-kanak kecil yang mampu memahami kandungan, makna dan kesan perjanjian perkahwinan tersebut.

Kanak-kanak bukan saja tidak mempunyai kematangan yang mencukupi untuk memilih suami yang sesuai, malah tidak akan mampu menegosiasikan haknya di dalam perkahwinan, apatah lagi bila suaminya jauh lebih tua dari dirinya. Apalah anak kecil tahu tentang kesihatan seksual dan reproduksi misalnya, apatah lagi, menegosiasikan hak dan kedudukan sebagai isteri kedua? Justeru, saya menyokong penuh pendapat Dr Wan Azhar bahawa amalan kahwin bawah umur sangat bertentangan dengan Islam dan Al-Quran.

Seperti Dr Wan Azhar, saya juga berpendapat bahawa ianya hanyalah produk budaya dan faktor ekonomi, dan bukan faktor agama. Apakah anda kenal atau pernah dengar anak-anak orang kaya di Malaysia ini yang telah dikahwinkan di usia 12 atau 13 tahun? Mungkin tidak. Rata-rata kes kahwin bawah umur berlaku di kalangan keluarga miskin. Jadi, salah satu cara membasmi amalan kahwin bawah umur ialah dengan membasmi kemiskinan dan memastikan budak-budak perempuan mendapat pendidikan yang tinggi.  Pembasmian kahwin muda juga dapat mengelakkan sebarang masalah kesihatan ataupun kematian akibat kehamilan di usia terlalu muda.

Zaman Nabi bukan zaman sekarang

Tidak semestinya kalau sesuatu amalan itu berlaku di zaman Nabi s.a.w, maka kita pun harus atau boleh meneruskan amalan itu. Perhambaan berlaku di zaman Nabi s.a.w. namun kini, masyarakat dunia termasuk masyarakat Islam di Malaysia menolak dan mengeji perhambaan. Orang Islam di Malaysia pun menerima bahawa perhambaan bertentangan dengan hak asasi manusia.

Kanak-kanak biarlah hantar ke sekolah, bukan dikahwinkan. (Jalil Arfaoui @ Flickr)

Malaysia juga telah berubah. Dulu, memang ada amalan perkahwinan bawah umur. Ibu saya sendiri kahwin pada umur 14 tahun. Tetapi semakin Malaysia bertambah dewasa, begitulah juga, umur perkahwinan turut semakin di peringkat dewasa. Ibu-ibu yang dulu kahwin muda tidak mahu anak-anaknya dikahwinkan di usia muda seperti mereka.

Trend dan pemikiran masyarakat Malaysia telah pun berubah. Namun, mengapa ada sesetengah pihak, teutamanya golongan agamawan, yang hendak mempertahankan amalan kahwin bawah umur? Kenapa sukar untuk masyarakat Islam mengambil pendirian bahawa kahwin bawah umur, memukul isteri dan poligami tidak boleh lagi diterima?

Jangan hipokrit

Rakyat Malaysia mahukan sistem demokrasi, menolak diktator dan autokrasi. Tidak ada siapa yang suka dianiaya atau ditindas, dan semua mahukan mutu hidup yang lebih baik. Semua tidak mahukan kekerasan, keganasan dan penindasan dilakukan terhadap dirinya.

Jadi, kita usah hipokrit. Kalau kita mahukan demokrasi dan keadilan, tidak mahu ditindas, dianiaya atau dikasari oleh sesiapapun termasuk oleh negara, maka sewajarnya kita juga harus menolak sebarang bentuk penganiayaan atau keganasan terutamanya terhadap kanak-kanak dan perempuan. Mengahwinkan kanak-kanak, memukul isteri dan mempoligamikan wanita juga merupakan suatu bentuk penganiayaan, kekerasan dan pelanggaran hak manusia.

Bagi umat Islam, mereka bangga bila mengatakan Islam agama yang membawa kebaikan dan boleh menyelesaikan sebarang masalah di dunia. Seharusnya memang begitu. Kebanyakan agama juga menganjurkan kebaikan. Tapi bila berhadapan dengan masalah di dalam masyarakat, tidak ramai agamawan yang dapat menawarkan penyelesaian dengan baik dan komprehensif. Mereka lebih berusaha menguasai ilmu tentang ketuhanan akan tetapi gagal menguasai ilmu tentang kemanusiaan dan juga konsep kenegaraan di era dunia moden.

Agamawan lupa bahawa antara tujuan agama ialah untuk memberi pencerahan dan keadilan pada manusia. Bukankah orang Islam juga yang kata Islam itu agama ad-deen, agama yang mencakupi segala aspek kehidupan dan yang relevan untuk semua zaman?

Rogol berkanun dan poligami

Kes Riduan Masmud ini bukan setakat kes kahwin bawah umur tetapi juga kes jenayah statutory rape terhadap budak perempuan berusia 12 tahun 6 bulan.  Walaupun katakanlah kanak-kanak itu menyetujui hubungan seks itu, dan walaupun keluarga kanak-kanak itu telah menarik balik dakwaan rogol tersebut, namun pihak berkuasa tetap harus mendakwa Riduan kerana kanak-kanak itu masih di bawah umur 16 tahun.

Namun, istilah statutory rape tidak wujud dalam perundangan syariah atau dalam fiqah. Malahan, enakmen hudud PAS Kelantan dan Terengganu menyenaraikan jenayah rogol pun di bawah kategori zina. Bagi kes seperti ini, sistem perundangan syariah lebih bertumpu pada zina, pengesahan pernikahan dan juga poligami.

Percanggahan antara bidangkuasa dan system perundangan syariah dan sivil boleh wujud jika pihak-pihak berkaitan tidak jelas antara zina dan rogol. Selain isu statutory rape, isu incest iaini hubungan seks antara muhrim, seperti bapa merogol anak, juga tidak boleh sama sekali dikategorikan sebagai zina. Jika jenayah rogol, hanya lelaki yang akan dihukum sedangkan jika zina, perempuan yang menjadi mangsa itu pun akan dikenakan hukuman juga.

Jainab Ahmad (Sumber: insightsabah.gov.my)

Saya mengucapkan tahniah pada beberapa pemimpin seperti Datuk Jainab Ahmad yang telah lantang dan tegas dalam memastikan keadilan terlaksana dalam kes ini. Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail juga menyatakan bahawa kes terhadap Riduan akan diteruskan, dan telah meminta Badan Pencegah Rasuah membuat siasatan kemungkinan berlakunya jenayah rasuah dari pemberian RM5,000 pada bapa kanak-kanak perempuan tersebut. Lim Guan Eng juga telah menyatakan bahawa pesalah rogol berkanun tidak patut lari dari hukuman dengan mengahwini kanak-kanak tersebut.

Namun, siasatan juga sepatutnya dibuat terhadap tindakan Mahkamah Syariah yang telah mengesahkan pernikahan Riduan dengan kanak-kanak itu dalam waktu yang sangat singkat (tidak sampai 10 hari). Apatah lagi memandangkan kanak-kanak itu dijadikan isteri kedua iaitu dipoligamikan dan adanya kemungkinan pemohon, iaitu Riduan, boleh dikenakan hukuman atas kesalahan rogol berkanun.

Kata mesti dikota

Pada persidangan Women Deliver di Kuala Lumpur baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah pun menyatakan komitmennya untuk memperkasakan wanita dan memastikan setiap kanak-kanak perempuan mendapat kehidupan yang lebih baik sama ada dari segi ekonomi, jaminan keselamatan dan juga kesihatan. Maka Najib harus mengotakan komitmennya.

Selain dari pemimpin Barisan Nasional, kita juga mahu agar semua pemimpin parti-parti politik seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengaku memperjuangkan perubahan, keadilan dan hak asasi manusia untuk menyatakan secara terbuka sokongan mereka terhadap larangan dan penghapusan perkahwinan bawah umur. Kanak-kanak biarlah hantar ke sekolah, bukan dikahwinkan.The Nut Graph